Thursday, July 22, 2010
Bila Malaikat Mencabut Nyawa
Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Nikmat nyawa merupakan nikmat yang sangat besar dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya.. Manfaatkanlah masa hidupmu dengan perkara-perkara yang berfaedah sebelum tiba masa matimu. Setelah mati, tidak berguna lagi segala penyesalan kerana usia yang diberikan oleh Allah telah disia-siakan. Perkongsian tentang saat-saat malaikat mencabut nyawa kita, manusia. Renung-renungkan semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya...
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
1. "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut.
2. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain dan kemudiannya mereka keluar.Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai kekerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
3. "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah
kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat surga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."
4. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilingi nya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
5. Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T."
6. Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah tersebut, maka malaikat maut ingin mencabut roh orang mukmin dari arah tangan.Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu.
7. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah
mengeluarkan sedekah,tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."
8. Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."
9. Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki,maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran & zikir."
10. Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah.
11. "Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu. "Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
12. Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-
a. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
b. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
c. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
d. Roh Para Shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
e. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
f. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
g. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."
13. Telah bersabda Rasullullah S.A.W: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari
mereka keluar dari kuburnya:-
a. Orang-orang yang mati syahid.
b. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan.
c. Orang berpuasa di hari Arafah
Semoga kita semua mendapat pengakhiran yang baik, husnul khatimah yang akan menjanjikan syurga idaman buat kita semua.. Insya-Allah..
Monday, June 21, 2010
Dosa-dosa Facebook
Dosa-dosa Facebook
Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang
kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang
patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda
haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak,
namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung,
pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di
ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook.
Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.
Tertekanlah sang suami atau isteri.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga,
kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain
sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan
untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk
mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan
oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita
perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook
atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat
diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang
diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini
boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga
dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan
sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK
DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan
mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi
selaku pembaca, kita dapat `membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si
pemilik sedang `perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya
sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan
sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui
facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka
sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan
berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan
secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi
lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya.
Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat,
sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang
diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka
memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa
sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang
menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda,
dan membuat `lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam
sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti
ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar
gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga
yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan
sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun,
ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan
Allah `janganlah kamu menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri
terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di
facebook.
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat
maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak
diluluskan menjadi `friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat
kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat
akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar
mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan
sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton
seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis
sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya.
Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan
semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, dek kerana gambar wanita yang terlalu `bersepah' difacebook,
terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai
koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah
punyai `rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan
sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk
mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut'
(cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang
benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak
sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah
rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang
membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku,
pemilik gambar mendapat dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah
untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan
rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini
juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr
Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat `trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian
meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar
yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada
friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat,
tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup
aurat adalah haram.
b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan
auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan
`candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal
aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh
dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak
mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang
prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar
mereka boleh `untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun,
penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat,
tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang
menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam
situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan `seseorang' yang terhormat,
punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia
mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung
di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar.. anda mungkin
bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi
terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian
extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun
sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik
dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal
dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya?
Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan
menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi
sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan
tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak
langsung. Lahirlah kata-kata, `zaman aku ekstrem', `zaman solehah', `waktu
innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah
tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman
solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan
lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu.
Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu,
janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan
lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh
menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan
berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak
sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan
isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa
kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama
'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah,
mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan
kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
